04 September 2007


kedah - 05

Dulu aku fikir tidak mengapa aku simpan hasrat dalam diam, terbenam dalam-dalam di hati. Aku sendiri tidak tahu sebab aku masih mahu menanam harapan itu, walau aku tahu jika engkau inginkan aku lagi, aku tidak mampu bersamamu. Itu yang aku akan katakan. Mungkin aku sudah serik.

Bagai dalam gambar itu, biarpun teguh berdiri anjurannya, tetapi ia usang. Sudah hilang upaya untuk menjana kasih yang baru. Aku masih berdiri di sisimu, di sebelah kananmu dan dikau perlahan-lahan meninggalkanku. Daunan yang telah gugur, jasad yang kian berumur, tanda engkau membenarkan cinta terus terkubur. Tiada lagi engkau cambah untuk memarakkan perasaan lama.

Dan aku. Aku yang masih meniup api hajat ini, dibiarkan sendiri.

Cantik kan, jika kasih ini berterusan, jika kenangan itu dilawat sampai membuatkan kita tersenyum dan mahukan ia dicipta-ciptakan. Bagai dalam gambar itu, berlatabelakangkan langit lazuardi, terletaknya susunan rimbunan hijau melata, laut tenang yang terbentang entah ke ufuk mana. Indah.

Tapi seindah manapun gubahan perasaan dan seteguh manapun sesuatu harapan, jika tuhan telah menetapkan takdir, kita harus akur. Engkau sendiri kata, ini semua takdir dan engkau tidak tahu selama mana dikau mampu bertahan.

Dalam diam, di hujung harapan yang tertanam, aku mula melentur egoku, mengakui kenyataan bahawa tidak semua cinta bersatu. Dan kita tidak mungkin lagi seperti dulu.

0 whisper(s):